SELAMAT DATANG KE WEBSITE GREAT TEACHER IZRAH

Thursday, December 16, 2010

S.M.K. BATU SAPI

SMK Batu Sapi ialah sebuah sekolah menengah kerajaan yang terletak 7 km ke selatan bandar Sandakan. Sekolah ini telah siap dibina pada bulan Disember 1983 dan mula berfungsi pada bulan Januari 1984. Pembinaan sekolah ini yang bernilai RM 10.5 juta adalah sebuah projek Kementerian Pendidikan Malaysia yang dibiayai melalui pinjaman Bank Dunia.

Sekolah ini dibina di kawasan seluas 20.8 hektar lengkap dengan berbagai-bagai kemudahan iaitu 3 blok bangunan 3 tingkat untuk 22 kelas, 5 makmal, pusat sumber, pejabat dan bilik guru, 1 blok bangunan bengkel Kemahiran Hidup, 2 blok bangunan 3 tingkat asrama lelaki dan perempuan yang boleh menampung seramai 350 orang pelajar, 2 blok bangunan 4 tingkat sebanyak 16 unit rumah flat guru, sebuah rumah banglo kediaman Pengetua, 4 unit rumah teres untuk kakitangan, padang bola sepak yang luas, gelanggang bola keranjang, sepak takraw, dewan makan/serbaguna untuk asrama, sebuah surau dan kantin sekolah.

Pada tahun 1984, sekolah ini memulakan operasinya mendidik pelajar tingkatan 1 dan 2 dengan 9 orang tenaga pengajar yang telah diketuai oleh pengetua pertama Encik Kisson Hj. Mijal. Pada tahun 1985, sekolah ini telah berjaya mendidik kumpulan pertama untuk peperiksaan SRP dan tahun 1986, sekolah ini juga memulakan kelas tingkatan 5 untuk SPM.

Pengetua kedua Tuan Syed Mokhtar Syed Mashor telah mengetuai sekolah ini pada tahun 1987 dan bilangan pelajar sidang pagi dan petang terus meningkat sehingga kini 1700 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga 5. SMK Batu Sapi juga telah memulakan aliran sains untuk tingkatan 4 dan 5 dibawah pimpinan pengetua ketiga iaitu Encik Othman bin Atan.

Pimpinan Othman bin Atan sebagai pengetua SMK Batu Sapi tamat pada Disember 1994. Tugas ini kemudiannya dipangku buat sementara waktu oleh Encik Mordin bin Daud sehingga kedatangan Tuan Hj. Abdullah bin Hj. Isa selaku pengetua sekolah pada bulan Ogos 1995.

Para pendidik, kakitangan dan pelajar terus berusaha dengan semangat kerjasama yang erat untuk mencapai tahap yang tinggi sebagai sebuah institusi pendidikan.

Sekolah ini terus berjaya melahirkan barisan pelajar anak tempatan dari sekitar kampung berdekatan dan juga pelajar dari pulau-pulau sekitar bahagian Sandakan yang telah membuktikan keupayaan dan bakat pencapaian cemerlang dalam pelbagai bidang akademik dan sukan sehingga ke peringkat yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.